Monday, November 5, 2007

dusta

Suka berdusta - Warisan Yahudi turun temurun



SIRI 9
(SURAH AL-BAQARAH)
AYAT 80
Terjemahan
``Dan mereka berkata: ``Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu''. Katakanlah (wahai Muhammad): ``Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?''

Tafsiran

Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa orang-orang Yahudi berkata: ``Dunia ini hanya 7000 tahun, sedang kami akan diseksa pada tiap-tiap seribu tahun itu hanya sehari, jadi kami akan diseksa hanya tujuh hari''.

Selain daripada itu, orang-orang Yahudi turut berkata: ``Kami tidak akan masuk ke dalam neraka kecuali empat puluh hari, kemudian digantikan oleh orang-orang lain iaitu Muhammad dan sahabat-sahabatnya''. Maka dijawab oleh Nabi Muhammad s.a.w. sambil menunjuk kepada mereka: ``Bahkan kamulah yang kekal selamanya di dalam neraka, tidak digantikan oleh sesiapa pun''.

Abu Hurairah berkata: ``Ketika telah dikalahkan daerah terakhir kaum Yahudi iaitu Khaibar, Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi hadiah berupa daging kambing yang beracun. Kemudian baginda menyuruh para sahabatnya untuk mengumpulkan orang-orang Yahudi yang ada di daerah itu.

Setelah mereka semua berkumpul, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada mereka: ``Siapakah ayahmu?''. Maka dijawab oleh mereka: ``Fulan''. Nabi s.a.w. bersabda: ``Dusta kalian semua, sebaliknya ayahmu fulan''. Jawab mereka: ``Benar engkau''. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya: ``Jika aku bertanya kepadamu apakah kalian akan menjawab dengan benar?''. Jawab mereka: ``Ya, hai Abul Qasim, bahkan jika kami berdusta engkau akan ketahuinya sebagaimana engkau mengetahui ayah kami''.

Lalu Nabi s.a.w. bertanya: ``Siapakah ahli neraka?''. Jawab mereka: ``Kami akan tinggal sementara sahaja, kemudian kamu menggantikan kami di dalam neraka''.

Maka sabda Nabi s.a.w.: ``Kecewalah kalian, kami tidak akan menggantikan kalian untuk selamanya''. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya pula: ``Apakah kalian jika aku tanya akan menjawab dengan benar?''. Jawab mereka: ``Ya, hai Abul Qasim''.

Nabi s.a.w. bertanya: ``Apakah kalian meletakkan racun dalam daging kambing ini? Apakah yang menyebabkan kalian berbuat begitu?''. Jawab mereka: ``Benar, kami ingin mengetahui jika engkau berdusta maka matilah kamu, tetapi jika engkau benar Nabi, maka tidak berbahayalah kepadamu''. (Riwayat Ahmad, Bukhari dan An-Nasai).

Sebab-sebab turun ayat

Diriwayatkan oleh At-Thabrani di dalam kitabnya Al-Kabir, demikian juga Ibnu Jarir, Ibnu Abi Hatim daripada Ibnu Ishaq daripada Muhammad Bin Abi Muhammad daripada Ikrimah atau Said Bin Jubair yang bersumber daripada Ibnu Abbas: Dikemukakan bahawa sewaktu Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah, kaum Yahudi berkata: ``Umur dunia ini tujuh ribu tahun. Manusia diseksa tiap-tiap seribu tahun dari hari dunia ini hanyalah sehari di hari akhirat. Maka jumlahnya hanya tujuh hari, dan setelah itu putuslah seksaan itu''.

Maka Allah turunkan ayat 80 ini sebagai bantahan dan peringatan kepada orang-orang yang menganggap dirinya lebih tahu daripada Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment