Saturday, January 24, 2009

Tips menghafal Al Quran

Menghafal Al-Quran memerlukan kesabaran jitu, kerana ia merupakan mukjizat Allah yang diturunkan kepada nabi besar Muhammad SAW. Al-Quran merupakan cahaya dan ia mudah hilang kerana kegelapan maksiat.

Untuk itu cubalah jauhi perbuatan buruk walaupun pada perkara yang ringan seperti mendengar muzik, berbual kosong dan sebagainya. Menurut pendapat penghafal Al-Quran yang berpengalaman, masa yang sesuai untuk menghafal Al-Quran ialah ketika sunyi terutama di waktu pagi. Walaupun begitu, haruslah berlatih untuk menghafal dalam setiap situasi sekadar termampu.



Cara menghafalnya pula berbagai-bagai. Namun kaedah biasa ialah dengan mengulangi 2-3 ayat secara melihat kepada Al-Quran kemudian cuba mengingatinya, setelah itu bolehlah berpindah ke ayat-ayat yang lain. Untuk menguatkan hafalan, kita dikehendaki mengulanginya selalu. Jika boleh, amalkan ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat fardu atau sunat rawatib. Harus diingat menghafal ayat yang baru adalah lebih mudah dari menjaga ayat yang telah dihafal.



Oleh kerana itu peruntukkanlah waktu yang khusus untuk mengulanginya. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, "sesungguhnya Al-Quran lebih cepat luput dari hati dari hilangnya unta yang terlepas dari ikatannya". Anda hendaklah juga menjaga makanan, agar tidak memakan makanan yang haram atau syubhah, kerana ia boleh memberi kesan kepada mutu hafalan.



Perbanyakkan ibadat sunat dan solat hajat. Jika kita merasa masih terlalu susah hendak menghafal cuba lakukan solat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani yang menceritakan bahawa saidina Ali pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hafalannya yang buruk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya mendirikan solat pada tiap-tiap malam Jumaat sebanyak 4 rakaat. Pada rakaat pertama sesudah Al-Fatihah dibaca surah Yaasiin. Pada rakaat kedua sesudah Al-Fatihah dibaca surah Ad-Dukhan, seterusnya pada rakaat ketiga selepas Al-Fatihah dibaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang keempat selepas Al-Fatihah hendaklah dibaca surah Al-Mulk.



Setelah Saidina Ali melakukannya selama 7 kali Jumaat, beliau begitu gembira apabila memberitahu Rasulullah SAW yang beliau telah menghafal Al-Quran dan hadisnya dengan mudah. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberi taufik kepada kita semua untuk terus menjadi generasi yang memelihara Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

darulnuman

No comments:

Post a Comment