Thursday, September 23, 2010

Detik hari-hari terakhirku di Mesir 1

alhamdulillah ..yes!
hari ni semua sudut kepala otak sudah menjadi ringan ..dan hati kacak ini mula tenang bagai air di tepi kali sungai di kampungku durian sebatang Raub.
sebab da abes imtihan la..aiish tanye lagik. harap2 la natijah keluar nanti insyaAllah lulus dengan cemerlang.

apa yang sedang dan akan dibuat hari ini adalah basuh baju dan kemas2 apa yang patut kat bilik tu. sudah kelihatan macam bilik org bujang gayanya. dah masalahnya memang bujang apalah kau ni merepek yang bukan2 der.

ketika posting ini dibuat berkumandang pulak lagu dendang perantau di radio internet ni. nyanyian alahyarham p ramlee..memang sebulan betul malaysia ni raya.. oh sedihnye jiwa murni ini sebab tidak berkesempatan beraya dengan keluarga tercinta. baju raya, kasut raya pun bayangan saja.. hanya sempat beli baju dalam jer warna putih jadila..menggantikan baju lama yang jadi kaen buruk kat dapur tu ha..hermm skoda je.. baek dimanfaatkan duit tu beli kitab sebab ku mengerti dan tahu bukan beraya sangat pun kat sini.

walaubagaimanapun 1 syawal lalu, sebaik saja selesai solat sunat hari raya di Mukhottom kaherah aku dengan rakanku terus serbu rumah terbuka malaysia untuk membelasah satay free di sana. dengan kesabaran dan tawaduk menjamah satay ade dekat 30 batang aku telan..mmg buruk tol perangai haritu..hik hik

ok stop cite pasal raye. sekarang mari beramal puasa sunat pulak . Pagi esok jumaat, bertolak ke kaherah dan akan menyambung semula pengajian sanad Al-quran aku yg tawaquf sebelum ni. kemudian ade mesyuarat lepastu nak tengok muka adik2 pelajar baru yang smpai ke mesir..muka dorang mesti cuak tambah pulak sedih berpisah dgn kuarga tercinta..boleh jugak nak merasa kueh2 raya yg dorang bawak dari malaysia.(ni point utama).

weh.. kume nak mengjemor kaen lerh.. babai

Wednesday, August 25, 2010

selamat berpuasa

Sabda Rasulullah S.a.w

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِى السَّحُورِ بَرَكَةً

“ Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya pada makan sahur itu ada keberkatan”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Selamat berpuasa bagi bloggers yang beragama islam..
siang kita berpuasa yang fardhu..malam pula kita berusaha perbanyakkan ibadah sunat.
mudah-mudahan Allah terima amal kita selaku hambaNya di dunia ini..
insyaAllah..

Wednesday, July 14, 2010

=(

Aku.. Dia.. dan Mesir..
Ku tahu mungkin ada silapnya diri ini..
bukanku enggan berusaha untuk mecapai hasrat dan impiannya..

cuma,
kudrat ini tidak mampu menjadi apa yang dia ingin dan impikan..
ku tahu dia kecewa dengan sikap ini..maafkan aku wahai kasih..
bila hasrat tidak dikecapi jangan pula menyalahkan diri ini..
terimalah diri ini seadanya..

namun..
Mengapa dirinya sudah mula berubah..
dahulu dia turuti dan memahami diriku..
kini..dia sudah membuat kesimpulan terhadap diri ini
alangkah sedihnya hati..

aku inginkan dia seperti dahulu..
wahai insan yang ku kasihi..

Mesir aku rindu saat dia berada bersamamu..
walau jarang berhubung, namun hari kita berseri..
ku harap dia mengerti..
terimalah diri ini seadanya wahai kasih..

Tuesday, July 13, 2010

Apala beliau nie..hehe

salam..kepada semua silent readers blog ini....walaupun korang bru kali pertama jumpe blog ni aku golongkan jugak korang dalam silent reader aku lantak lah. tadi aku ada jalan2 dalam internet nie untuk melihat blogger2 lain..sekali terjumpa dengan blogger ni..aku takdelah kenal sangat beliau ni tapi dengar2 citer beliau tukar template baru. 3 column lagi..siap kaler biru putih plak da macam surat khabar online aku tengok...

mungkin admin blog tu da rasa boring dengan tempalate lama beliau..dan mungkin juga beliau nak satu pembaharuan dengan penampilan baru yang lebih kemas dan selari dengan kematangan beliau. Tapi dalam pengamatan dan kajian yang aku lakukan..aku rasa macam skema je blog beliau tue.. yelah mana taknya da la kaler blog dia jambu2 air, layout da la macamtu lepastu nak update seminggu skali pun susah. ha aku tengah marah ni jage2 tengah marah nie.. alahai nak tukar2 template baru pulak beliau..tu pun keco.. tapi aku harap sangatlah lepas beliau dah tukar template nie rajin2 lah update posting baru tiap2 hari..maklumla dah macam surat khabar kan..hahaha

aku malas nak cite lebey2 kang perang dingin dengan beliau tu plak..jika korang nk kenal dan tgok blog surat khabar tu di sini "blog skema" wokeh aku nak cabut lari dulu..lariiik..

Sunday, June 27, 2010

Misi bulan 7 dan 8..

alhamdulillah exam da abes..
aku plan nak amek sanad al quran secara bertalaqi dengan syeikh. moga aku dapat perbetulkan bacaan alquran aku nie..dengan bacaan makhraj sempurna.
terpaksa la duduk tumpang umah kawan 2 bulan di kaherah.
result keluar hujung bulan 8..cuak tahap babun dah nie..harap2 la berjaya!
lepastu aku nak balik mesia.. yahoOoo!!!

Thursday, June 3, 2010

Niat berkahwin


Berhubung dengan persoalan kahwin atau nikah ini, kita perlu mengetahui apakah tujuan kita kahwin. Bagi orang Islam yang sebenar, tujuan perkahwinannya atas mencari keredhaan Allah, bukan sekadar ikut-ikut atau bertujuan untuk berseronok-seronok.



Oleh itu niat kita hendak mendirikan rumahtangga kita itu mestilah betul seperti yang dikehendaki oleh Allah swt. Kalau niat mendirikan rumahtangga tidak betul mengikut kehendak Allah dan Rasul, maka keluarga yang didirikan tidak akan mendapat pimpinan dari Allah swt. Sekiranya kita sudahpun mendirikan rumahtangga, tidak salah kalau niat ini kita perbetulkan semula.



Niat yang pertama yang mesti kita pasang dalam mendirikan rumahtangga kita ialah untuk mendapat sebanyak-banyak anak yang soleh. Allah dan Rasul memang menghendaki niat seperti ini kerana muka bumi ini adalah diserahkan oleh Allah swt kepada manusia-manusia untuk ditadbirkan dengan baik mengikut peraturan-peraturan yang telah Allah berikan.



Manusialah yang telah dijadikan oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Aku hendak jadikan khalifah-khalifah di muka bumi ini.”



Rasulullah saw juga penah bersabda:
‘………..kerana aku berbangga di hari kiamat nanti dengan ramainya umat-umatku dibandingkan dengan umat Rasul-Rasul sebelumku.”



Yang dimaksudkan dengan umat di sini ialah hamba-hamba Allah yang patuh dan tunduk kepada perintah-perintah Allah serta yang beriman kepada Allah dan Rasul. Adalah hikmah dan rahsia pada ramainya bilangan isteri Rasulullah saw itu ialah supaya menggemarkan umat Islam pada membanyakkan bilangan umat Islam.




Jelas pada kita betapa Allah dan Rasul memang mengkehendaki umat yang ramai dan kerana itu Allah sediakan nikmat-nikmat yang banyak untuk manusia. Dan dengan sebab itulah, apa saja yang ada di muka bumi ini, samada kita sedar atau tidak, semuanya adalah untuk kita. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:



“Dialah Tuhan, yang menjadikan apa saja di atas muka bumi ini untuk kamu (manusia).”
Perlu kita ingat bahawa Allah amat mengetahui rancangan kita dalam merancang keluarga. Contohnya, kita tidak mahu anak yang banyak., kita makan pil-pil atau sebagainya. Hakikatnya perbuatan kita itu adalah menipu Allah swt. Muslihat itu Allah amat mengetahui dan akibatnya, Allah akan lebih menipu daya kita. Buktinya, ada setengah-setengah wanita itu, kerana terlalu hendak merancang keluarga, langsung Allah tidak kurniakan anak kepadanya. Ada sesetengah wanita itu, kerana terlalu hendak merancang anak supaya dapat anak yang sedikit, apabila dia melahirkan anak, lahir anak-anak kembar yang banyak. Jadi haruslah kita sedar siapakah Allah yang hendak kita tentang kehendak dan kekuasaannya.



Bukan sedikit anak itu yang menjamin kebahagiaan hidup kita. Malah, anak yang banyak yang kemudiannya saleh-saleh pula, dia akan mendatangkan kebajikan dan memberi kebahagiaan hidup kita, bukan saja di dunia, bahkan di akhirat juga. Jika anak itu mati semasa kecil, dia akan mendatangkan syafaat kepada ibubapanya.



Jadi, niat yang pertama dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah niat untuk mendapat anak sebanyak yang boleh. Pasanglah niat ini baik-baik kerana, kalau pun pada pelaksanaannya, ia tidak boleh dilakukan, namun pahalanya telah Allah catatkan.



Niat yang kedua dalam kita mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu dapat menghilangkan nafsu yang jahat dan yang rakus, khususnya nafsu syahwat terhadap wanita-wanita yang tidak halal bagi kita.



Melalui perkahwinan akan dapat mengelakkan diri kita daripada tindakan nafsu syahwat yang jahat. Melakukan perkara yang halal dengan niat untuk mengelakkan diri daripada perkara yang haram merupakan satu kebajikan yang akan membawa pahala dari Allah.



Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Pada kemaluan seseorang kamu itu pun adalah sedekah.”
Apabila seseorang itu berkahwin dengan niat ini, ia memilih jalan yang dihalalkan oleh Allah dan telah dicontoh oleh Rasulullah saw untuk memenuhi keinginan semulajadi. ia mengatur dan menyusun perhubungan tadi mengikut lunas-lunas Islam. Dengan sebab itulah, Allah telah menghalalkan pernikahan dan mengharamkan penzinaan.
Niat yang ketiga dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu akan menyelesaikan masalah hati daripada mentadbir rumahtangga.



Yang ketiga, dengan berkahwin seseorang itu akan dapat menumpukan perhatiannya dalam menghadapi rumahtangga, terhadap ibadah kepada Allah terutamanya di dalam sembahyang. Kerana segala perurusan rumahtangganya sudah diselesaikan oleh isteri daripada memasak makanan, mambasuh pakaian, mengemas dan sebagainya, sekiranya seorang isteri itu tidak bekerja makan gaji. Isteri yang solehah dan yang beragama itu, dia akan menyelesaikan semua urusan rumahtangga.



Dalam hal ini Rasulullah saw pernah mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud:
“Perempuan itu dinikahi dengan empat sebab: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Tetapi hendaklah kamu pilih yang kuat beragama, nescaya dia menguntungkan kamu.”



Rasulullah menyuruh kita memilih yang beragama kerana perempuan yang beragama itu sempurna Islamnya dan sempurna ihsannya. Ini adalah syarat agama atau rukun beragama iaitu iman, Islam dan Ihsan. Apabila kita hendak berkahwin, terpaksalah kita mencari perempuan yang sempurna agamanya kerana beragama itu adalah salah satu sifat wanita-wanita solehah.



Niat yang keempat dalam kita hendak mendirikan rumahtangga ialah bahawa kahwin itu boleh menghiburkan hati kita. Dengan kita kahwin, pada isterilah tempat kita berhibur-hibur dan berseronok-seronok serta bergurau senda dan bermanis muka. Dengan demikian akan menenangkan hati kita serta memberi kegembiraan kepada kita lantaran kita dapat menumpukan sepenuh kusyuk kepada ibadah kita dengan Allah swt terutamanya di dalam sembahyang yang mana merupakan ibadah yang terpokok.



Sedangkan untuk mendapat kekusyukkan di dalam sembahyang itu adalah yang paling susah sekali selagi kita tidak dapat hadir hati di dalam sembahyang. kalau hati sentiasa resah dan gelisah, maka akan bertambah berserabutlah sembahyang kita. Sebab itulah, hati kita ini perlu diberi hiburan dengan senda gurau kita terhadap isteri. Malah bukan dalam sembahyang saja, kita dapat mengusahakan kekusyukkan beribadah bahkan puasa juga tidak akan sempurna kalau hati kita tidak tenang.



Puasa yang sempurna itu ialah apabila hati kita tidak teringat kepada perkara-perkara yang boleh melalaikan kita kepada Allah swt seperti kita teringat kepada dunia, kepada wanita-wanita dan sebagainya.



Dan akhirnya, niat yang kelima yang hendak kita pasang apabila kita hendak mendirikan rumahtangga ialah dengan niat untuk melawan nafsu marah dan ditarbiah dengan sifat sabar.



Ia bererti yang apabila kita telah mempunyai isteri, kita terpaksa berlawan dengan kewajipan-kewajipan menjaga dan mendidik anak isteri. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah mengingatkan kita tentang sifat-sifat seorang perempuan itu bahawa kata baginda, perempuan-perempuan itu adalah dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok yang kalau kamu luruskan ia dengan cara paksa dan mendadak, ia akan patah. Sebab itu, hendaklah di jaga isteri itu dengan bijaksana.



Satu daripada tugas kita dalam melawan nafsu ini ialah dalam menghadapi kelakuan-kelakuan isteri yang tidak selaras dengan syariat. Memang sudah demikian Allah jadikan kamu perempaun mempunyai nafsu lebih daripada lelaki.
Nisbah kalau nafsu itu ada sebanyak 10, 9 daripadanya adalah pada kaum perempuan dan satu pada kaum lelaki. Sedangkan nafsu itu sentiasa mengajak manusia berbuat jahat.



Ertinya, kejahatan sajalah yang mempengaruhi kaum-kaum perempuan. Oleh itu, tugas kita bila berhadapan dengan isteri adalah berat dan itulah mujahadah kita dengan nafsu. Sejauh mana kita berjaya memimpin anak isteri kita ke jalan yang diredhai Allah hingga mereka dapat melaksanakan syariat Allah, maka di situlah nilai pahala yang tinggi bagi kita di sisi Allah swt. Di sinilah akan lahirnya sifat sabar pada suami iaitu kenalah banyak bersabar dalam menghadapi ujian yang didatangi oleh isteri, selain daripada terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai ujian yang lain.



Firman Allah swt yang maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang sabar itu diberi ganjaran tanpa hisab.”
Demikian lima niat yang hendak kita pasang di dalam diri kita semasa kita hendak mendirikan rumahtangga.



Lima niat ini adalah yang paling kurang selain dari niat-niat baik yang lain seperti niat untuk mencari rezeki yang halal untuk anak isteri dan lain-lain. Kalau sekiranya kita ada mempunyai 5 niat yang betul dan baik ini, maka di situlah Allah akan bantu kita dan akan memberi taufik dan hidayahnya kepada kita untuk kita dapat melahirkan satu rumahtangga yang aman dan bahagia yang selaras dengan kehendak syariat Allah swt.



Ya Allah kurniakan aku isteri yang solehah..dan pimpinlah aku menjadi hamba yang soleh.. amiin.

Friday, May 7, 2010

Bila miskin baru kenal erti susah


Sejak akhir-akhir ini, aku telah diuji dengan salah satu ujian yang biasa dirasai oleh pelajar al azhar di sini. Macam cite sedih la pulak. Tak mengapalah asalkan apa yang aku nak sampaikan tu sampai.



Kewangan... Masalah ini bkn setakat pelajar azhari dan azhariah je pernah lalui.. rata-rata pelajar yang masih menuntut pun pernah merasainya. Yelah mana taknya sebelum ni duit datang pun dari pinjaman. Bila tamat pinjaman baru terasa hidup sekangkang beruk ni, tapi beruk pun da tak kangkang dah dorang pandai duduk bersila sekarang. aku tak kesah sangat sebab masa tahun pertama aku disini pun..aku datang bukan dengan pinjaman. adoyai.. makin dekat dengan imtihan ada je perkara remeh datang bertandang tanpa diundang. dan itulah namanya kehidupan.



Mak aku cakap, bila ada orang susah datang nak mintak tolong kita kena tolong selagi mampu. Sebabnya nanti bila kita susah orang akan tolong kita balik kan kan..tapi janganlah harap ia sebagai ganjaran kerana, ganjaran yang tersirat dari Allah itu lagi dasyat dan tidak ternilai.



Sudah jadi sejarah, pernah aku dengan ahli bait tak jumpa nasik dekat seminggu.. ketar perut jugaklah mana ada tenaga nak kekuliah. berbulan-bulan jugak makan ala kadar..dalam fatrah kemsikinan tu..hari-hari kunyah roti arab sambil mengembangkan hidung, makan tepung buat lempeng, cekodok boleh kata hari-hari..muke pun da mcm kodok afrika dah haha. member aku tido pun sambil pegang perut kesian waktu tu.. punyala takde duit. tapi aku tetap bersyukur sebab masih ada lagi benda yang nk dimakan tuh. Sedangkan Rasulullah s.a.w pun bila tak ada makanan baginda akan berpuasa dengan isterinya Aisyah. Masa tu la dapat muhasabah diri. gile la kalau kat malaysia ada jugak aku makan yang tak abis. bila bulan puasa kaw2 nafsu makanan tu menjadi-jadi. masuk pasar malam kepala terus bertanduk merah,kening senget sebelah. Tapi di sini semuanya terbalik. aku lebih kenal erti hidup susah dan lebih menghargai apa itu MAKANAN. Berkongsilah makanan walaupun benda itu sedikit. ingat! keberkatan itu ada dalam kebersamaan.



Apa2pun semuanya bersangkut paut dengan duit. Nak mintak dengan kluarga pun dah naik segan dah. Sepatutnya usia kita sekarang dah mula berkhidmat pada orang tua, bukan lagi meminta macam budak darjah satu menangis-nangis inginkan patung ultraman. aiseymen kantoi pulak huhu. aku ni bukan jenis yang suka berhutang.. tapi aku ni jenis yang tak sampai hati nak mintak hutang kepada penghutang huhu walaupun dah mintak..alhamdulillah duit sekarang sudah ada ..harus lah berjimat cermat selagi boleh. jadi kepada sahabat2 diluar sana sila lah amalkan doa ini tiap kali selesai solat agar dikuatkan dalam mengahadapi ujian..dan jauh dari berhutang.



اَللَّهُمَّ اكْفِنِيْ بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِيْ بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ.


“Ya Allah! Cukupilah aku dengan rezekiMu yang halal hingga aku terhindar dari yang haram. Perkayalah aku dengan kurniaMu hingga aku tidak minta kepada selainMu.”



اللهم اني اعود بك من الهم والحزن و اعود بك من العجز و الكسل و اعود بك من الجبن و البخل و اعود بك من غلبة الدين و قهر الرجال



Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari hal yang menyedihkan dan aku berlindung kepadaMu dari lemah dan malas, dan aku berlindung kepadaMu dari bakhil dan penakut, dan aku berlindung kepadaMu dari lilitan hutang dan penindasan orang.



Bulan ini aku akan menduduki imtihan akhir tahun..mudah-mudahan aku najah dan boleh pulang ke Malaysia untuk berbakti kepada KELUARGA BANGSA dan AGAMA!!! TakbiRRrRrr..Allahuakbar..



p/s: 12 paper muntah hijau jugaklah =( buwek

Wednesday, March 31, 2010

Jalan Jalan ke Neraka


1. Orang-orang yang tidak menjalankan tanggungjawab memberikan pelajaran agama Islam kepada ahlinya

2. Orang kaya yang bakhil

3. Peniaga yang penipu

4. Peminum arak

5. Mengada dan menyokong majlis-majlis maksiat

6. Berzina

7. Menipu, memakan harta anak yatim

8. Meringan-ringankan sembahyang

9. Tidak mengeluarkan zakat

10. Panjang angan-angan dan tidak bertaubat kepada Allah

11. Meninggalkan sembahyang

12. Derhaka kepada ibubapa

13. Berbuat fitnah

14. Suami dan ibubapa yang dayus

15. Dusta

16. Mendapat dan memakan harta yang haram

17. Sihir

18. Dengki/khianat

19. Melakukan apa yang diharamkan oleh Allah



Diriwayatkan ada seorang pemuda suatu ketika dahulu kerjanya mencuri kain kafan. Pada suatu hari, dia bertaubat dan bertanya kepada gurunya tentang hal keadaan mayat yang pernah ditemuinya ketika mencuri dahulu.



1. Mayat berpaling daripada arah kiblat: Guru itu menerangkan bahawa orang itu semasa hayatnya mempunyai kepercayaan yang salah.


2. Semua kuku kaki dan tangannya mencengkam ke bumi : Iaitu pembalasan kepada orang yang membuat kesalahan kepada manusia.


3. Mayat menjadi batu hitam : Derhaka kepada ibubapa.


4. Perut menjadi besar dan buncit, penuh dengan ular dan berbau busuk : Balasan bagi peminum arak


5. Mengalir darah, nanah dan sebagainya melalui tiap-tiap liang dan lubang anggota serta berbau busuk lebih daripada bangkai : Semasa hidupnya berzina


6. Mayat bertukar rupa seekor babi : Tanda orang itu meninggalkan sembahyang


7. Cantik, senyum manis dan bau yang harum : Tanda keimanan orang itu semasa hidupnya



Kitab rujukan : Mutiara Perjalanan Hidup Insan (Ustaz Najmuddin Haji Elias) terbitan An-Nahli Enterprise

Tuesday, March 30, 2010

Pahala paling mudah

Dalam kehidupan seharian, kita pasti melakukan sesuatu perkara sama ada perkara itu zahir mahupun batin. Bayangkanlah kita dapat amalkan ayat - ayat memuji nama Allah dalam segala tindak tanduk kita. Pastinya para malaikat berebut - rebut untuk mancatat amalan yang kita lakukan.



seperti kebanyakan orang arab mesir, saya sudah banyak perhatikan mereka selalu mengamalkan lafaz bismillah dalam apa jua perkara yang mereka ingin lakukan, hatta ketika ingin memulas stereng kereta juga masih mampu mengucapkannya. saya begitu tersentuh jika melihat golongan seperti ini. Jika difikirkan memanglah mereka ini orang arab dan lafaz itu adalah dalam bahasa arab, tapi hakikat sebenarnya kerana mereka selalu mengingati Allah. Saya selalu berkata pada diri sendiri alangkah bagusnya saya dapat istiqamah dalam melafazkan kata - kata indah memuji Tuhan yang Esa.



1. Mengucap Bismillah pada setiap kali hendak melakukan sesuatu.



2. Mengucap Alhamdulillah pada setiap kali selesai melakukan sesuatu.



3. Mengucap Astaghfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.



4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu.



5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tidak diingini.



6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.



7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidah.



Saya masih lagi cuba mempraktikkan dan tidak dapat dinafikan pada awalnya memang susah untuk membiasakan diri menyebut kalimah tauhid ini, akan tetapi saya yakin dengan diri sendiri bahawa dapat melakukannya..



saya mengajak saudara - saudari sekalian agar dapat melaukannya juga. Tidakkah kamu semua terfikir alangkah manisnya mulut kita jika sentiasa menyebut kalimah yang Allah sukai..mudah mudahan kita terpandang mulia di sisi Allah dan malaikat serta diampuni dosa -dosa kecil walau sebanyak busar di laut. mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat, mudah-mudahan selalu, walau susah mudah-mudahan buat jadi selesa, karena sudah biasa.. wallahua`lam^^

Monday, March 29, 2010

Anak kecil takut api neraka

Dalam sebuah riwayat ada menceritakan bahawa seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.



Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?" Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum wa ahlikum nara" (tahrim ayat 6) yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka" Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."



Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka." Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."



Berkata orang tua itu sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti.



p/s: tiap yang hidup pasti akan menemui mati jadi beringatlah selalu. Andai kita dimatikan Allah kelak, sudah bersediakah amalan yang kita bekalkan?

Friday, March 26, 2010

Biodata iblis

Nama sebenar : IBLIS LAKNATULLAH.


Nama glamour : hantu,syaitan,pelesit,jembalang,langsuwey dan lain-lain.


Kelahiran : Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s


Status diri : Fasik kelas pertama


Agama : Kufur


Tempat Tinggal : Di hati-hati mereka yang lalai


Alamat Tetap : Neraka jahanam


Kawasan : Di Setiap penjuru yang di dalamnya tiada usaha lansung untuk mengingati Allah


Arah perjalanan : Tiada haluan dan bengkang bengkok


Isteri : Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati Allah,Rasul dan suaminya



Kaum kerabat : Semua golongan yang menentang dan memusuhi Allah


Modal pusingan : Angan angan kosong dan tipu daya yg halus


Tempat pertemuan : Konsert-konsert hiburan,Pasar-pasar dan di semua tempat jual beli


Musuh ketat : Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa


Sahabat karib : Anak-anak Adam


Motto kerja : 'Hipokrasi asas akhlak'


Hobi : Melalaikan orang dari mengingati Allah, menggoda manusia lalu menyesatkannya


Cita cita : Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir


Sukan (yg tidak digemari) : Acara Langkah seribu (Semasa Malaikat Maut ingin mencabut nyawa)


Kelemahan diri : Bila Manusia membaca istighfar


Mentor yg dikagumi : Manusia yg mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya


Logo : Sebarang tatu


Pejabat operasi : Tandas,bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat


Rakan kongsi : Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia


Sumber pendapatan : Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba


Jenis perkhidmatan : Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap Allah SWT


Tempoh perkhidmatan : Sehingga hari khiamat


Matlamat Sebenar : Membawa Anak cucu Adam bersama-sama ke Neraka Jahanam


Teman sejawat : Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran


Ganjaran : Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan Allah


Pembantu setia : Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam


Peristiwa yg tak dapat dilupakan : Semasa Allah menjadikan Nabi Adam a.s


Kenangan manis : Di waktu manusia diambang sakratulmaut, mati dalam kekafiran


Kenangan pahit : Manusia yg digodanya mati dalam keimanan


Makanan kegemaran : Daging orang mati, segala najis dan kotoran


Minuman yg digemari : Wiski,brandi,taqila,todi,wine,arak dan semua minuman yg memabukkan


Yang paling ditakuti : Orang mukmin yang bertakwa


Yang paling dibenci : Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah


Alat perangkap : Wanita-wanita cantik,model,pelacur,pragawati,dan sebagainya


Saat ajal : Bila tiba waktu yang ditentukan Allah di hari kiamat kelak


Yg paling membosankan : Bila tiada lagi manusia yg mahu mengikuti kemahuannya


Tugas yg paling meletihkan : Menganggu manusia kearah kebaikkan kerana Allah Taala


Tugas yang paling disukai : Mengajak melakukan Homoseks,lesbian dan berzina


Janji kepada manusia : Janji janji kosong,angan angan dan tipu daya


Yang membuatnya gembira : Manusia yg mengikut jejak langkahnya


Saat yg mendukacitakannya : Manusia yg mempunyai cita cita untuk bertaubat


Yang membuatnya menangis : Bila Manusia yg disayanginya sujud kepada Allah SWT.

Tuesday, March 23, 2010

10 syarat jadi imam

Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam :



1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.



2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Ini kerana, solat yang dilakukan oleh orang yang disahkan gila tersebut tidak sah. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat sah tetapi adalah dibenci. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu berulang ketika dia menunaikan solat.



3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud, “Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak sehingga dia baligh.” Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan budak atau kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna.Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Amr bin Salamah: Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah s.a.w sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh tahun. (Riwayat Bukhari)



4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki.Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.



5) Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.



6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya.Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap kiblat.



7) Keadaan yang bukan makmum.Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk:i- Al-Hanafiah: tidak harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana dia telah mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh diikuti.ii- Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk itu sebagai ikutan kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang mudrik (tidak sempat rakaat bersama imam boleh diikuti apabila dia bangkit untuk menunaikan solatnya dan hendaklah mudrik yang tidak sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana ketika itu dia sedang solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum.iii- Al-Syafieyyah: terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya imam dari solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum maka pada ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam atau orang lain yang mengikutnya sebagai imam.Kesimpulannya : al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang yang asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada Al-Syafieyyah dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.



8) Syarat khas pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: sejahtera daripada keuzuran.Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh ke atas orang yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam. Sekiranya seseorang yang mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama menjadi imam daripada orang yang mempunyai dua keuzuran.Adapun pendapat al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh menjadi imam selagi mana tidak terbatal wuduknya.Begitu juga pendapat bagi Al-Syafieyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah menjadi imam orang yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.



9) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan.Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.



10) Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan oleh orang yang bermazhab yang sama dengan makmum.Sekiranya seseorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam bermazhab Syafie yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas itu atau solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum itu batal kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu tadi.Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab Syafie adalah makruh.
wallahu'alam

Thursday, March 18, 2010

Peranan bapa


Keluarga adalah unit asas kepada masyarakat, negara dan umat manusia. Keluarga terbentuk melalui institusi perkahwinan di mana seharusnya wujud saling memahami dan sayang menyayangi di antara satu sama lain. Perkahwinan adalah proses mengatur kehidupan agar anak-anak yang lahir bakal menjadi generasi pelapis yang beriman dan kuat jati dirinya.



Di sinilah bapa memainkan peranan yang besar dalam kehidupan berumahtangga. Sudahkah golongan bapa memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang? Keharmonian dalam perkahwinan mesti dipelopori dan diketuai oleh insan bernama bapa. Bapa hari ini bukan hanya bertanggungjawab memberi makan, pakai dan rumah kediaman semata-mata kepada ahli keluarga. Bapa perlu melindungi dan memelihara keimanan ahli keluarga supaya tidak hanyut dalam arus kehidupan bertentangan dengan fitrah kejadian manusia.



Dalam keluarga nilai pelindung perlu ada bagi suami. Peranan bapa bukan lagi sekadar menyara keluarga, lebih dari itu bapa berperanan penting melindungi isteri, memberi kebahagiaan kepada keluarga dan kedamaian rumah tangga. Peranan ini perlu diperkasakan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala tidak sihat dan maksiat. Jika seorang suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, maka dia tahu dia akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh itu dia tidak akan sewenang-wenangnya mengkhianati amanah itu.



Suasana rumah tangga akan menjadi aman damai. Isteri akan sentiasa berasa tenang, tenteram, berpuas hati dan menumpukan sepenuh perhatian kepada rumahtangga yang dibinanya. Apabila ibu bahagia kerana suaminya seorang yang bertanggungjawab, dia akan menjadi ibu yang baik kepada zuriat suami. Natijahnya, anak akan membesar dengan kasih sayang, tunjuk ajar dan bakal menjadi cerdik dan cemerlang. Maka lahirlah generasi pelapis yang ceria dan bahagia dan merupakan harta kepada keluarga dan negara.



Namun pada hari ini perangkaan menunjukkan ramai anak Melayu/Islam kita yang terjebak dengan bermacam-macam kegiatan yang kurang sihat, antaranya amalan merokok dan salah guna dadah. Yang berada di pusat serenti semakin ramai. Jumlah yang terbabit dalam jenayah juvana(remaja) juga meningkat. Tidak termasuk yang terlibat dengan bencana Aids/HIV dan mat rempit baik di bandar mahupun di luar bandar. Semua ini bukan lagi merupakan harta tetapi sebaliknya beban kepada keluarga dan negara. Negara akan kerugian berjuta-juta ringgit untuk mengatasi masalah ini.



Kajian ahli psikologi Barat mendapati corak pergaulan antara ibubapa dan anak memainkan peranan penting dalam penentuan corak hidup mereka. Remaja yang menghadapi masalah juvana didapati mempunyai ibu bapa yang gagal dalam membentuk nilai murni serta tidak tetap dalam memberi tunjuk ajar dan terlalu garang sewaktu menghukum kesalahan anak. Secara semulajadinya naluri seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang, kelembutan dan kesantunan, menjadi rujukan serta mempunyai hubungan yang baik dengan anak. Namun bapa akan sering dilihat sebagai kurang arif untuk bergaul serta kurang melibatkan diri dengan kegiatan anak. Sepatutnya bapa mewujudkan suasana mesra dengan anak sejak kecil lagi, bertanya khabar dan perkembangan anak agar ruang perhubungan sentiasa terbuka dan si anak tidak teragak-agak untuk meluahkan segala permasalahannya. Sebaliknya jika bapa bersifat bengis dan kurang berhubung dengan anak, maka tidak hairanlah jika kita dapati si anak akan melakukan tingkah laku yang kurang menyenangkan untuk menarik perhatian ibu bapa. Tingkah laku itu akan berterusan hingga ke sekolah, menyebabkan kerja sekolah terganggu dan mereka juga agak sukar meyesuaikan diri dengan rakan sekelas membuatkan mereka terus terasing.



Mengadakan kegiatan berkumpulan seperti berkhemah amat baik untuk mengeratkan pertalian dengan anak. Juga tidak salah mencium dan memeluk anak-anak. Rasulullah SAW telah pun menunjukkan contoh yang jelas. Diriwayatkan oleh Aisyah : Pada suatu hari Rasululllah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra': "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata: "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."(maksud Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).



Sebagai pemimpin dalam keluarga bapa harus berilmu dan berwibawa mendidik anak-anaknya. Nilai agama harus diterapkan dalam sesebuah rumahtangga kerana masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama yang diabaikan. Sebaliknya sajian dari media elektronik menjadi santapan utama remaja. Ini diburukkan lagi dengan kawalan minimum atau tiada kawalan langsung dari ibubapa. Pengawasan dalam hal ini penting kerana kebanyakan rancangan dari media menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat serta cara hidup yang tidak berlandaskan agama. Remaja akan mengambil keputusan untuk mencontohi apa yang sering dihidangkan kepada mereka sebagai budaya kehidupan mereka. Ini terjadi apabila ibubapa dan masyarakat tidak mampu menyediakan mereka dengan pilihan yang lebih menarik.



Bapa yang prihatin akan sentiasa menjadikan pendidikan anak suatu keutamaan. Anak-anak perlu didedahkan dengan contoh yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik untuk diikuti dalam memimpin dan mengukuhkan institusi keluarga.(Surah AlAhzab, ayat 21). Bayangkan jika di rumah nilai agama menjadi pedoman. Anak didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama serta budaya memberi dan menjawab salam. Anak akan mengikut asuhan solat sebagai cara mengajar dirinya menghargai masa.



Oleh itu menjadi tanggungjawab para bapa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, termasuk penghayatan agama, keibubapaan selari dengan peredaran zaman untuk memimpin keluarga mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kepada bapalah sebenarnya contoh terbaik bagi anak lelaki yang suatu ketika nanti bakal menjadi bapa. Bapa dicontohi kerana keupayaannya sebagai suami dan pelindung ibu dan anak. Kegiatan seperti berkhemah, menonton perlawanan bola sepak di stadium dan solat berjemaah di masjid wajar dilakukan oleh bapa terutamanya bersama anak lelaki . Anak lelaki yang mendapat teladan yang baik dari bapanya akan membesar menjadi lelaki yang berperibadi seimbang dan bakal pula menjadi suami yang baik. Anak-anak dari bapa yang amanah kemungkinan juga menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan kedua ibubapanya ketika mereka tiada kelak.

Monday, February 22, 2010

Hujan rahmat atau laknat?

Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a. katanya, dia mendengar Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW bercerita, "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah SAW sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah, "Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa." Jawab baginda, "Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Hadis riwayat Muslim)



Allah SWT menyuruh kita hamba-hambanya agar sentiasa melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Maka selaku manusia yang ditugaskan menjadi khalifah Allah, wajib ke atas kita menjalankan perintah Allah itu tanpa rasa malas, angkuh dan sombong atau dengan lain perkataan menderhakai Allah dengan melakukan berbagai kemaksiatan di muka bumi ini.



Sesungguhnya apabila kemurkaan Allah menjelma akibatnya amat dahsyat sekali sebagaimana yang telah berlaku pada kaum ‘Add yang hanyut dengan seribu satu kemaksiatan hingga pada suatu ketika telah datang kepada mereka awan mendung dan mereka berkata, "Inilah awan-awan yang akan menurunkan hujan bagi kita..." Namun ternyata bahawa hal yang sebaliknya berlaku di mana kebaikan yang mereka sangkakan akan mendatangi mereka sebenarnya adalah satu bala (malapetaka) yang diturunkan Allah akibat dari kejahatan yang mereka lakukan.



Mengingatkan hal inilah, Rasulullah SAW akan merasa resah gelisah setiap kali awan mendung berarak, memikirkan sama ada ia merupakan satu rahmat atau satu laknat daripada Allah SWT. Oleh itu sebagai umat Islam, kita ini hendaklah sentiasa beringat dan menjauhi perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, berbagai-bagai malapetaka alam yang terjadi seperti gempa bumi, taufan, letupan gunung berapi, banjir besar, ombak besar dan sebagainya berlaku dan sesungguhnya segala peristiwa tersebut sebenarnya mempunyai pengajaran (mesej) yang tersendiri untuk umat manusia seluruhnya di mana hanya manusia yang benar-benar beriman dan beramal soleh serta yang diberi taufik dan hidayah sahaja yang akan sedar dan mengambil iktibar daripadanya.



Hujan, rahmat atau laknat?



Kadang kala kita sentiasa terdengar orang-orang di sekeliling atau kita sendiri mengeluh apabila cuaca yang dikatakan 'buruk', seperti :



* “Ishh….cuaca buruk je akhir-akhir ni yer…soalnya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk???”



* “Iskkk….. Tak kering la baju kalau asyik hujan je…”



* “loorrrr…..hujan lagiii!!!!”



* “Tiap-tiap hari hujan…susah la mcm nih…”



* “Kalau hujan…memang payah nak buat ape-ape kerja…”



* “Ala… tak boleh balik la mcm ni…hujan!!”



* " nak pegi masjid.. hujan pulak daaaah...



Adalah lebih baik jika bebelan-bebelan itu digantikan dengan doa kerana sesungguhnya, hujan yang diturunkan adalah rahmat bukan malapetaka kepada kita.



“Allahumma syaiyiban nafi’a”
Terjemahan : Ya Allah, Ya Tuhan kami, jadikanlah hujan ini bermanfaat buat kami.




Tatkala mendengar petir pula, bacalah :



“Allahumma la taqtulna bi gadabika wa la tuhlikna bi 'azabika
wa 'afina qabla zalik”


Terjemahan : Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemurkaan-Mu, dan janganlah Engkau membinasakan kami dengna siksa-Mu, dan selamatkanlah kami sebelum itu.




Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Dialah (Allah SWT) yang menghantar angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangannya (yakni hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, dan dihalakan ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu diturunkan hujan bersama awan mendung itu, kemudian dikeluarkan air hujan untuk membasahi bumi untuk terus hidup.” (Surah Al-A’raf, ayat 57)



Sedarkah kita bahawa air hujan yang turun ke bumi adalah limpahan rahmat yang diberikan oleh Allah SWT dan bukannya malapetaka. Rasullullah SAW ada berpesan kepada umatnya bahawa apabila hujan turun ke bumi, setiap doa daripada umatnya adalah mustajab.



Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Allah jualah mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akanNya serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Hud, ayat 123)



Oleh itu, mulai hari ini, apabila hari hujan, janganlah bersungut tetapi ditukarkan kepada berdoa kerana hujan yang diturunkan adalah rahmat kepada kita.

Friday, February 19, 2010

10 amalan terbalik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut- ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-



1. Amalan Kenduri ArwahBeberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?



2. Kalau Hadir Ke Kenduri Walimatul Urus (Kenduri Kahwin) Orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri.Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.



3. Ketika Menghadiri Majlis Pemimpin Negara Kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.



4. Kalau Menjadi Tetamu Di Rumah Orang Dan Di Beri Jamuan,Kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.



5. Kalau Bersolat Sunat



Di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.


6. Bulan Puasa Adalah bulan untuk mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta, perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?



7. Kalau Nak Mengerjakan Haji, Kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?Atau kita mempunyai tujuan lain.



8. Semua Ibubapa Amat Bimbang Kalau-Kalau Anak Mereka Gagal Dalam Periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya.Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pun bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.



9. Kalau Bekerja Mengejar Rezeki Allah Tak Kira Siang Malam, Pagi Petang, Mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah_Nya segan dan malas.



10. Seorang Isteri Kalau Nak Keluar Rumah Sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia. Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Monday, February 15, 2010

Qarin a.k.a pendamping manusia

Assalamualaikum warahmatullah,



Setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang bertugas sebagai ‘penggoda’ seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Hanya Rasulullah SAW sahaja yang tidak dapat digoda oleh qarin. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.



Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, “Tidak seorangpun di antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya.” Para sahabat bertanya, “Anda juga, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)



Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)



Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadis riwayat Baihaqi)



Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis di atas, qarin adalah dari golongan jin. Ia sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Sedangkan sifat manusia itu lemah, mudah lupa menjadi penyebab terjerumusnya manusia ke lembah nista dan kemaksiatan akibat tergoda dengan hasutan qarin ini. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.



Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”



Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.



Perihal qarin ini bukan saja disebut dalam hadis, malah diceritakan di dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya).” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36)



Kewujudan jin, iblis dan syaitan sesatkan manusia wajib dipercayai



Apakah perbezaan antara jin, iblis dan syaitan serta peranan makhluk itu dalam mengganggu dan menyesatkan umat manusia? Apakah benar ia dapat dilihat dalam jelmaan tertentu? Apakah hukum mereka yang ingkar akan kewujudannya dengan alasan ia tidak dapat dilihat?



Menurut Ustaz Zamanuddin Jusoh, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas. Ketiga-tiga makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud, “Dan Dia menciptakan jin dari nyala api.” (Surah ar-Rahmaan [055], ayat 15).



Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran, ““Iblis berkata: “Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan.” Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu (wahai Iblis) termasuk orang-orang yang diberi tangguh (untuk mengganggu anak Adam), sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).”” (Surah Shaad [038], ayat 79~81)



Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah. Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud, “Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncu-kuncunya dapat melihat kamu dari suatu tempat, sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raaf [007], ayat 27).



Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan cerdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman. Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai.” (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih)



Hadis daripada Aishah r.a. diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka. Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah, Universiti Al-Azhar).



Antara peranan jahat syaitan ialah:



1. Mencipta permusuhan antara manusia.



Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).” (Surah al-Maa-idah [005], ayat 91).



2. Menghilangkan pertimbangan akal yang waras.



Sabda Rasulullah bersabda bermaksud, “Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan.”



3. Tamak dan hasad dengki.



Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya, “Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak.” (Ibnu Jauzi).



4. Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam.



Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud, “Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecah-belahkan perpaduan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari).



5. Memesongkan akidah umat Islam.



Firman Allah bermaksud, “Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisaa’ [004], ayat 60).



6. Menyeru kepada kejahatan.



Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).



7. Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan.



Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).



8. Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.



Firman Allah bermaksud, “Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu bersamanya.” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36).



9. Mencipta perbalahan dalam agama.



Firman Allah bermaksud, “Di antara manusia ada orang yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat.” (Surah al-Hajj [022], ayat 3).



Membaca doa keluar rumah



Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, “Jika seseorang keluar dari pintu rumahnya atau dari pintu tempat tinggalnya, maka akan ada dua malaikat yang mengawalnya. Jika dia membaca, “Bismillah”, kedua malaikat itu berkata, “Engkau mendapat petunjuk.” Jika dia mengucapkan, “Laa haula walaa quwwata illa billah” (tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya Allah), dua malaikat itu akan berkata, “Engkau terjaga.” Jika dia mengucapkan “tawakkaltu ‘alallah” (kepada Allah aku berserah diri), dua malaikat itu berkata, “engkau telah dicukupkan.” Lalu dua malaikat itu menemui qarin (jin yang selalu menyertai manusia) orang itu. Dua malaikat itu berkata, “Apa yang kamu kehendaki daripada seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupi keperluannya dan dijaga dirinya?”



Qarin akan berpisah dengan ‘kembar’nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.



Oleh itu hendaklah kita mengamalkan doa perlindungan yang mudah seperti disebutkan di atas, semoga kita terpelihara daripada gangguan golongan yang direjam ini. Amiin.

Tuesday, February 9, 2010

Sujudlah Kepada Penciptamu!

Assalamualaikum warahmatullah,




Solat merupakan perintah yang sampaikan oleh Allah secara terus kepada Nabi Muhammad SAW berbanding dengan perintah yang lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain.





Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah SWT yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangannya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.





Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat





DARIPADA Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur)."





Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.





Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was-was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian lain. Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya.





Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika. Dari segi kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain. Ini terbukti oleh saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli sains menemui bahawa ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.





Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dulu. Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki. Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari. Semua anggota disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang sedang solat iaitu seperti mana diperintahkan Rasulullah SAW.

Monday, February 8, 2010

Hakikat demam

Demam itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh melebihi suhu biasa. Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa demam, namun apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula hikmahnya?



Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.A mengatakan yang maksudnya :

“Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Muslim)



Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.



Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka.



Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.



Adapun maksud “mendinginkannya dengan air” itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.



Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.


Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?
Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.



Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :


Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.


Yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.



Mencaci-maki Demam.


Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :


Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:


“Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?


Dia menjawab: “Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya”.
Nabi Shallallahu alaihi wasallam bersabda: “Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi”.


(Hadith Riwayat Muslim)



Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya. Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.



Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.



Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.


Jadi, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Bagaimanakah dengan kita apabila ditimpa demam? Adakah kita akan merungut-rungut? Atau kita tetap redha dengan ketentuan ALLAH pada kita? Fikir-fikirkan….



p/s: sebaik-baik air untuk menyembuhkan demam adalah air zam zam^^

Sunday, February 7, 2010

Zikir

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

Thursday, January 28, 2010

Menghina orang lain seperti caci diri sendiri

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)



Melakukan perbuatan seperti memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh kemampuan orang lain, memanggil orang lain dengan gelaran yang tidak baik, memalukan orang, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan kepada orang lain dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.



Sesiapa yang mencaci orang lain dengan perkataan-perkataan yang buruk seumpama dia mencaci dirinya sendiri. Sebaik-baiknya sebagai umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong tanpa mengira agama dan keturunan orang yang ingin dibantu.



Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela memang melakukan dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu sudah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah.

Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Tuesday, January 12, 2010

Imtihan

Madah Imtihan Fasa Pertama 11 hingga 28 Jan 2010





1. Takhrij Hadith



2. Manahij Muhaddisin



3. Mukhtalaf Hadith



4. Manahij Dakwah



5. Tauhid (Sami'at)



6. ilal Hadith



7. Tafsir Maudu'i



udu'li bitaufiq wannajah ^^